KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu tinggi dan tidak logik.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan yang diperuntukan oleh kerajaan dikhuatiri meningkatkan defisit negara.

"Belanjawan 2024 hendak jadikan kerajaan dan Perdana Menteri lebih popular semata-mata.

“Saya tidak tahu daripada mana mereka (kerajaan) dapatkan duit?

“Sekiranya kita berhutang lagi, jumlah hutang negara akan mencecah RM1.5 trilion dan akan mengikat kita dengan masalah ini untuk tempoh berpuluh-puluh tahun akan datang,” katanya dalam sidang media Persidangan Tahunan Dewan Kepimpinan Nasional Berjasa (Sidang) 2023 bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM393.8 bilion iaitu jumlah perbelanjaan yang besar dalam sejarah belanjawan negara.

Ia merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Sementara itu, Mahathir turut mengulas, walaupun kerajaan menarik kembali subsidi dan memperkenalkan Cukai Barangan Bernilai Tinggi, ia masih tidak mampu memulihkan ekonomi.

Jelasnya, kerajaan perlu tindakan holistik kerana pelaksanaan cukai barangan mewah tidak mampu menampung defisit negara.

"Cukai yang dicadangkan tidak mampu menampung keperluan Belanjawan 2024 kerana terlalu tinggi untuk menampung hutang negara," ujarnya. - Sinar Harian